Pencacai Umno Batu Talam tipu Najib bulat-bulat
Ahmad Lutfi Othman
Sat | Jan 27, 07 | 10:08:50 AM
SELEPAS berkunjung ke Batu Talam semalam, banyak juga isu-isu berkaitan pilihan raya kecil itu yang perlu disinggung, tetapi saya kira dakwaan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak bahawa PAS mewajibkan ahli-ahlinya 'menyokong calon Bebas agar dia tidak hilang wang pertaruhan' perlu dijelaskan dahulu.
Surat edaran yang dikatakan ditandatangani Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa itu penuh dengan kejanggalan, sekaligus menunjukkan penipuan itu dilakukan secara amatur dan cukup memalukan, apatah lagi akhbar-akhbar utama dan siaran berita tv, menunjukkan gambar Najib sendiri yang membuat pendedahan eksklusif itu! "Kalau nak tipu pun biarlah orang percaya."
Najib, dan juga Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, boleh menuduh PAS apa saja, sama ada "penipu" mahupun "bacul". Tetapi apabila ia disandarkan kepada satu bukti palsu, maka siapa sebenarnya yang menipu, dan siapa pula yang ditipu?
Pencacai Umno-BN boleh mengedarkan apa jua risalah kepada pengundi, termasuk untuk memburuk-burukkan PAS, tapi usahlah menipu. Macam juga media yang dikawal mutlak pemerintah, kritik dan hentamlah PAS, tapi janganlah memutarbelitkan cerita.
Sekilas pandang surat Husam kepada Yang Dipertua PAS Raub, banyak lucunya. Petang semalam saya sempat mengunjungi Ustaz Abdullah Suhaimi Saat di Felda Tersang 3. Beliau membuat laporan polis minta disiasat siapa yang bertanggungjawab menerbitkan dan mengedarkan surat palsu berkenaan.
Pertama, dalam PAS, tiada istilah "bahagian" sepertimana Umno, yang ada "kawasan". Sedangkan "surat Husam" itu ditujukan kepada "Yang Dipertua PAS Bahagian Raub". Kedua, kepala surat selalunya hanya memaparkan bendera parti bukan lambang bulan purnama bersama, dan tiada pula dalam surat itu tertera "Pejabat Agung PAS" di bawah "Parti Islam SeMalaysia (PAS)", manakala No Pendaftaran merujuk Selangor, sedangkan yang sebenarnya "Penang".
Kesalahan membezakan antara "bahagian" dan "kawasan" itu saja sudah cukup untuk memutuskan surat ini dibuat oleh pencacai Umno yang jahil terhadap "seterunya" sendiri. Dan mentang-mentanglah PAS itu parti Islam, maka penerbit surat palsu ini langsung tidak meletakkan tarikh masihi seperti yang lazim diamalkan kerana yang tertera hanya 2 Muharam 1428!
Cuba teliti perenggan pertama: "Sesungguhnya jihad kita untuk menegakkan syiar Islam di Malaysia kali ini secara tersirat dan halus. Walaupun kita secara terang-terangan berkata boikot, tetapi kita mesti turun menunaikan undi secara senyap. Persepakatan ini telah dicapai pada Pelancaran Suruhanjaya Untuk Pilihanraya Adil dan Bersih (BERSIH) pada 20 Januari 2007 di Markas PAS Taman Melewar, Gombak."
Apa yang peliknya? Apakah ia gaya bahasa yang selalu dipakai Husam, atau lebih tepat lagi apakah Husam pernah mengeluarkan surat atas nama Naib Presiden PAS? Dan apa kena-mengena Husam dengan hal-hal berkaitan pilihan raya?
Apakah surat ini mahu ditujukan kepada YDP PAS Raub atau pengundi Batu Talam ataupun ahli-ahli PAS yang menjadi pengundi Batu Talam kerana ia ditujukan kepada YDP PAS Raub tetapi mukadimahnya, "Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah SWT".
Lebih melucukan apabila nombor "Rujukan Kami: PAS/BERSIH.11/3.09(20/7)". Macam mana pula "Bersih" boleh muncul dalam rujukan itu sedangkan ia bukannya badan di bawah PAS? Lagi pun Bersih merupakan singkatan kepada "Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil" yang dianggotai 25 NGO dan lima parti politik. Bersih bukannya "Suruhanjaya Untuk Pilihanraya Adil dan Bersih" seperti dalam surat itu.
Tunggu, ada lagi penipuan dalam perenggan pertama ini. Yang dilancarkan pada 20 Januari 2007 bukanlah "suruhanjaya" yang tidak wujud itu tetapi program Jelajah Perdana, bermula di Taman Melewar dan diikuti di peringkat negeri.
Untuk perenggan kedua dan ketiga saya tidak mahu mengulas panjang, cukup sekadar respons ringkas dan rasanya pembaca, khususnya ahli-ahli PAS yang biasa dengan budaya dan kebiasaan parti: "Mengundi itu adalah sesuatu yang wajib dalam Islam. Ianya adalah sebahagian daripada ibadah dan rukun kita sebagai seorang yang beriman. Seluruh jentera PAS Raub adalah diwajibkan membantu pakatan Barisan Alternatif di Batu Talam. Pemimpin utama PAS akan turun padang mengadakan ceramah dan program bersama dengan pengundi di Batu Talam.
"Untuk mendirikan sebuah kerajaan yang bersih dan adil, pucuk pimpinan parti menyeru pengundi turun beramai-ramai pada 28hb ini bagi menafikan kemenangan calon BN di Batu Talam. Wajib kita membantu calon Bebas agar dia tidak hilang wang pertaruhan."
Memang amat janggal sekali ayat dan kalimah yang dipilih. Penegasan "mengundi itu wajib" pun mengelirukan apatah lagi "ia sebahagian daripada ... rukun kita sebagai seorang yang beriman", cukup pelik. Dan apa maksud "membantu pakatan BA di Batu Talam", siapa pakatan itu?
Tak pernah pula saya dengar tujuan perjuangan PAS "untuk mendirikan sebuah kerajaan yang bersih dan adil", dan kalaupun ada, apa perlunya hendak ditegaskan semasa pilihan raya kecil ini, kerana ia lebih sesuai semasa berdepan pilihan raya umum, barulah logik untuk "mendirikan kerajaan".
Bukankah "bersih dan adil" itu dirujuk kepada perjalanan sistem pilihan raya yang dituntut parti-parti pembangkang? Apa halnya sampai istilah "wajib" diulang-ulang (mungkin penulis surat ini membayangkan disebabkan PAS parti Islam maka istilah yang dipakai pun mestilah islamik, termasuk hanya tarikh kalender hijrah yang digunakan!), dan atas pertimbangan apa pula Husam begitu prihatin dengan nasib calon Bebas itu?
Mungkin ada yang hairan mengapa saya nampaknya begitu serius dengan surat palsu itu?
Sebenarnya saya pun tidaklah serius sangat dengan surat ini, apatah lagi, pengedarannya pun mencarik adat. Menurut Ustaz Suhaimi, surat untuk ahli-ahli parti tidak akan dibiarkan bertimbun di luar markas PAS dan disebarkan di penjuru-penjuru jalan seperti yang berlaku kepada surat palsu itu. Ia akan dihantar ke rumah ahli-ahli atau semasa program parti.
Saya terdorong untuk mengulas hal ini kerana akhbar dan tv membesar-besarkannya, apa lagi ia "didedahkan" Najib sehingga timbul istilah "PAS penipu" dari mulutnya. Seperti saya kata di awal tulisan, tuduhlah apa saja kepada PAS tapi biarlah berasaskan fakta yang jelas.
Buatlah apa saja rumusan terhadap keputusan PAS boikot pilihan raya kecil itu tapi janganlah mengada-adakan cerita yang tidak ada.
Jentera kempen Umno di Batu Talam memang banyak menabur fitnah termasuk merosakkan (dan mencuri) kain rentang boikot, tetapi apabila mereka rela memperbodohkan Najib (yang semakin kelemasan dengan isu-isu Altantuya), dan TPM pula langsung tidak menyemak surat palsu itu sebelum mengumumkannya kepada media, maka apa sudah jadi?
Najib menuduh PAS menipu, walhal Najib yang ditipu bulat-bulat oleh juak-juaknya sehingga sanggup ke depan mengusung bahan fitnah sedangkan yang ditentang BN bukannya PAS, tapi calon Bebas yang poster kempennya langsung tidak ada di Batu Talam.
Seperti kata seorang teman yang mengiringi saya sepanjang kunjungan sehari itu, "memang gila pilihan raya kali ini dan Umno terpaksa berhabisan bukan saja untuk menang tetapi untuk pastikan orang keluar mengundi." Hal ini akan saya ulas kemudian, mungkin lebih baik selepas keputusan kita perolehi.
Apa pun, lazimnya pemimpin Umno tak ambil peduli soal maruah. Jadi, pastinya Najib langsung tidak tertekan walaupun menyedari beliau diperbodohkan pengikutnya sendiri. Dan jangan harap Najib akan mohon maaf kerana melemparkan tuduhan berasaskan surat palsu itu.
Lagi pun rakyat Malaysia boleh saja menerima peristiwa ini sebagai satu kelaziman. Soal Perdana Menteri atau TPM berbohong menjadi lumrah, 'bagai minum air sejuk', sedangkan soal bohong kepada pemimpin berprinsip khususnya di Barat umpama 'menelan bara api'. Kerap kali pemimpin yang berbohong kepada rakyat terpaksa melepaskan jawatan selepas pembohongan mereka terdedah.
Kalau tidak silap saya, Dato' Seri Rais Yatim semasa memimpin Team B dan seterusnya Semangat 46 dulu pernah mengubah rangkap pantun Melayu, "Siakap senohong gelama ikan duri; bercakap bohong, lama-lama jadi menteri!"